PUTRAJAYA, 12 Sept — Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan persekitaran yang ada selamat untuk murid kembali semula ke sekolah secara berperingkat dengan kaedah penggiliran bermula 3 Okt ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata walaupun semua pelajar di seluruh negara masih belum menerima suntikan vaksinasi COVID-19 sepenuhnya, kementerian akan memastikan semua ekosistem di sekeliling murid di sekolah adalah divaksinkan.

Katanya pendekatan itu bukanlah yang baharu memandangkan banyak negara menggunakan pendekatan yang sama apabila program vaksinasi berjalan selaras dengan pembukaan semula sekolah.

“Program vaksinasi untuk murid sekolah berumur 12 hingga 17 tahun ini baru sahaja dimulakan… pada masa yang sama murid di sekolah rendah masih boleh belum divaksinkan lagi.

“Jadi, kita ambil kira apakah yang terbaik untuk anak-anak kita dan pada masa yang sama memastikan bahawa kehadiran mereka ke sekolah ini telah diberi penekanan kepada aspek keselamatan.

“Jadi kita buka kepada anak-anak untuk kembali ke sekolah, kita wujudkan persekitaran (yang selamat), kita mengurangkan risiko dalam memastikan kehadiran mereka ke sekolah adalah dalam keadaan yang selamat,” katanya dalam sidang media pengoperasian sekolah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Radzi berkata waktu persekolahan masih berjalan seperti biasa untuk memberi kelonggaran kepada pihak sekolah untuk memastikan kemasukan dan penyuraian murid secara berperingkat dapat terus dilaksanakan.

“Jadi walaupun hanya 50 peratus kapasiti kehadiran murid, sekolah perlu memastikan bila waktu bersurai secara berperingkat dan kemasukan secara berperingkat bagi memastikan ada ruang masa untuk proses tersebut dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Radzi mengumumkan sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan COVID-19.