IPOH, 12 Sept — Undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu pada persidangan Parlimen kali ini yang akan bermula esok.

Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembangkang mungkin tidak faham apabila terus mendesak supaya undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat.

“Mungkin pembangkang tak berapa faham. Apabila Yang di-Pertuan Agong telah buat lantikan iaitu setelah tuanku benar-benar yakin seseorang itu telah mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka, undi percaya tak perlu dibawa ke Dewan Rakyat.

“Apabila mereka nak bawa, bermaksud mereka menidakkan kuasa lantikan seorang Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Moh Lepak Sekejap Bersama YB Peja’ di sini hari ini.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bermula esok hingga 12 Oktober depan selama 17 hari.

Akhbar ini hari ini menyiarkan laporan mengenai desakan Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan perlunya undi percaya terhadap Perdana Menteri pada persidangan parlimen kali ini.

PH melihat isu itu masih wujud berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.

Kata PH, titah itu adalah bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Perdana Menteri dilaporkan tidak memerlukan usul undi keabsahan bagi pelantikan dirinya pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang akhbar pada 7 September lalu.