KUALA LUMPUR, 16 Sept — Sebanyak 1,000 Bakul Prihatin diserahkan kepada penduduk yang terkesan akibat wabak pandemik COVID-19 di sekitar Parlimen Gombak pada sambutan Hari Malaysia, hari ini.

Terdapat tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Gombak iaitu Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Perikatan Nasional (PN) Gombak komited untuk meneruskan agenda Malaysia Prihatin bagi merealisasikan usaha pemulihan negara.

“Kami juga komited untuk menggembeleng muafakat utuh demi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia khususnya bagi merealisasikan usaha pemulihan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azmin menyempurnakan Pelancaran Jelajah Prihatin Perikatan Nasional Parlimen Gombak di Padang Awam Taman Batu Caves awal pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Bahagian BERSATU Gombak Nizam Sani; Ketua Urusan Ulama PAS Gombak, Ustaz Imran Selamat dan Pengerusi Gerakan Gombak, Indrajit Singh.

Dalam program itu, sebanyak 180 bakul makanan berjaya diagihkan secara ‘pandu lalu’ kepada penduduk yang terkesan dengan COVID-19.