KUALA LUMPUR, 16 Sept — Sebanyak 250 Jalur Gemilang diserahkan kepada masyarakat setempat di sekitar Parlimen Segambut bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dan cintakan negara sempena sambutan Hari Malaysia.

Ketua Bahagian BERSATU Segambut Mahathir Mohd Rais berkata program anjuran Perikatan Nasional (PN) Segambut itu disertai wakil NGO dan pemimpin komuniti tempatan.

“Sambutan yang menggalakkan. Rata-rata komen peniaga dan penjaja mereka rasa gembira sektor ekonomi sudah dibuka semula.

“Mereka juga terkejut melihat penglibatan ramai anak-anak muda di dalam program hari ini,” katanya ketika dihubungi Wacana.my hari ini.

Selain itu, Mahathir turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 50 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan 50 penerima dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) melalui Program Jelajah PTPTN tahun 2021 di Kampung Sungai Penchala.

“Sumbangan telah diserahkan kepada Yayasan Faidu Rahmah untuk diagihkan kepada semua penerima,” katanya.