KUALA LUMPUR, 17 Sept — Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk meningkatkan peratusan hospital swasta yang diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi kepada 20 peratus, menjelang 2025.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata berdasarkan data terkini, hanya 22 buah atau 12.6 peratus daripada 175 hospital swasta di Malaysia sudah diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi manakala semua hospital kerajaan sudah menjayakannya lebih awal.

“Kewujudan Hospital Rakan Bayi ini penting dalam meningkatkan amalan penyusuan susu ibu secara eksklusif, lebih-lebih lagi ketika ramai wanita sudah menyedari tentang kebaikan dan kepentingan memberikan susu ibu kepada bayi mereka.

“Penyusuan ibu adalah makanan terbaik kepada bayi kerana turut mampu mencegah bayi mendapat penyakit kronik pada masa mendatang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Pusat Laktasi Kebangsaan (PLK) 2021 di Hospital Tunku Azizah, di sini hari ini.

Beliau berkata KKM memahami hospital swasta mempunyai kekangan sendiri lantas tidak meletak sasaran yang tinggi tetapi apa yang pasti adalah kerajaan sedang berusaha untuk mencapai sasaran berkenaan.

Dr Noor Azmi berkata KKM mempunyai garis panduan sendiri dalam memastikan ibu yang disyaki atau sudah dijangkiti COVID-19 supaya tetap masih boleh memberikan susuan kepada bayi mereka.

Ia antaranya dengan mendapatkan susu perahan daripada ibu terlibat untuk diberikan kepada bayi mereka atau menggunakan susu dermaan.

“Jadi, tanggapan bahawa ibu dan anak mereka mesti dipisah atau tidak boleh menerima susu ketika dijangkiti COVID-19 itu salah, kerana kita ada garis panduan yang ditetapkan bagi memberikan alternatif kepada ibu-ibu,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berpendapat sudah tiba masanya untuk PLK dinaik taraf kepada Institut Laktasi Negara (LKN), selaras dengan perkembangan dan keperluan perkhidmatannya dalam mempromosi, menyokong dan melindungi penyusuan susu ibu di Malaysia.

“PLK ini yang wujud lebih 13 tahun merupakan agensi utama untuk program penyusuan susu ibu dan telah memperlihatkan pelbagai pencapaian besar termasuk meningkatkan peratusan hospital swasta yang diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi.

“Ia juga menjadi pusat rujukan kepakaran berkaitan penyusuan susu ibu sewaktu pandemik COVID-19, jadi saya amat menyokong penuh perkara ini (proses naik taraf) dipercepatkan,” katanya.