KOTA KINABALU, 17 Sept — Kerajaan negeri hari ini mengumumkan jumlah jemaah solat Jumaat dan fardu di masjid utama dinaikkan kepada 300 orang dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam satu kenyataan media hari ini, berkata jumlah jemaah di masjid kariah pula dihadkan kepada 200 orang manakala solat Jumaat di surau yang dibenarkan adalah seramai 50 orang.

“Keutamaan diberi kepada jemaah yang sudah lengkap vaksin dan semua tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.

“Bagi solat fardu pula, bilangan jemaah yang dibenarkan hadir ke masjid utama ialah 150 orang manakala masjid kariah dan surau hanya 50 jemaah yang dibenarkan,” katanya.

Selain itu, Masidi juga berkata, aktiviti keagamaan lain yang dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid atau surau ialah kuliah Maghrib iaitu tempoh masa antara waktu Maghrib dan Isyak, solat jenazah dengan bilangan jemaah juga sama seperti solat Jumaat dan solat fardu.

“Turut dibenarkan, pengurusan jenazah dengan jumlah 20 orang, di samping ziarah kubur juga jumlah 20 orang.

“Bagi majlis akad nikah di masjid atau surau, bilangan yang dibenarkan ialah 20 orang di dewan atau bilik khas tertakluk mengikut keluasan dan kebenaran jawatankuasa,” katanya.

Selain itu, Masidi juga menjelaskan takrifan masjid utama ialah Masjid Negeri Sabah, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang dan semua masjid daerah.