KUALA LUMPUR, 17 Sept — Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengayuh basikal bagi mengagihkan 60 Bakul Prihatin Negara kepada masyarakat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa dan Kampung Pandan India, Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Titiwangsa berkata, pengagihan tersebut merupakan salah satu tujuan dalam menjayakan Program Kayuhan Prihatin Titiwangsa bersempena Hari Malaysia 2021.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, selain itu, pihaknya turut memberi pelitup muka serta cecair pembasmi kuman kepada masyarakat setempat.

“Program ini turut disertai seramai 25 orang pengayuh terdiri ahli-ahli BERSATU Bahagian Titiwangsa serta warga Titiwangsa yang berbilang bangsa dan agama.

“Melalui program ini, kami di Bersatu Bahagian Titiwangsa secara tidak langsung dapat mewujudkan sifat kekeluargaan yang harmoni antara kaum yang mana kita tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja.

“Semoga dengan bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban para penerima dan secara tidak langsung dapat juga mengeratkan kemajmukan masyarakat pelbagai kaum dalam konteks ‘Keluarga Malaysia’,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar Wan Ahmad Fayhsal, pihaknya turut berterima kasih kepada semua petugas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut membantu dalam menjayakan program kayuhan tersebut.