KUALA LUMPUR, 19 Sept — Politik anak muda kini lebih menumpukan kepada mengeratkan perpaduan antara satu sama lain merentasi pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Sarawak Alexander Frusis berkata ini bermakna konsep Keluarga Malaysia harus dikekalkan dan perpaduan harus dijaga oleh semua pihak.

“Bagi saya, setakat ini Malaysia dalam keadaan yang baik berbanding negara-negara luar.

“Syukur kita tidak mempunyai sebarang perkara yang tidak diingini berlaku dan rakyat hidup aman serta harmoni.

“Apabila negara aman, pelabur-pelabur asing akan berasa selamat untuk membawa masuk pelaburan mereka dalam negara kita,” katanya ketika dihubungi Wacana.my.

Terdahulu, Alexander hadir dalam lawatan bersama Ketua Pemuda PN Senator Ir Khairul Nizam Khirudin bagi menyampaikan sumbangan kek bulan kepada Pemuda Gerakan sempena dengan Perayaan Kuih Bulan yang disambut oleh masyarakat Cina, pada Jumaat lalu.

Turut hadir, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau; Setiausaha Agung Pemuda GERAKAN Lim Si Ching dan Kepimpinan Pemuda PAS Pusat.

“Perkara ini bagus, jarang dianjurkan di peringkat parti politik di mana Pemuda PAS berjumpa Pemuda Gerakan untuk memberi kuih bulan yang dibuat sendiri oleh Dewan Muslimat PAS Pusat,” katanya.