KUALA LUMPUR, 21 Sept — Bank dan institusi kewangan perlu membantu membina semula perniagaan pasca pandemik COVID-19, terutamanya perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas teruk dan ketika permintaan terhadap pembiayaan meningkat di tengah-tengah pembukaan semula ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata memandangkan pandemik itu turut menyediakan peluang bagi perniagaan, terutamanya dalam bidang pendigitalan, bank-bank juga perlu membantu perniagaan, terutamanya PMKS untuk memodenkan, mendigitalkan dan mentransformasikan operasi mereka.

“Bank-bank perlu melakukan lebih lagi untuk menyokong perniagaan berteknologi tinggi. Sebagai contoh, bank perlu terus menyokong dan menggalakkan pemula niaga dalam bidang digital. Perniagaan baharu ini sedang menerajui ekonomi inovatif, dan mereka perlu diberikan pemudahan yang mereka perlukan.

“Bank juga sedang melalui perubahan besar-besaran, terutamanya berkaitan dengan teknologi. Memandangkan model bank fizikal semakin menuju pengakhiran, dan perbankan maya menjadi semakin meluas, perubahan ini akan memberi impak kepada kakitangan bank,” katanya dalam ucapan khas beliau pada sidang kemuncak maya Perbankan dan Kewangan Malaysia 2021, hari ini.

Justeru, Mustapa berkata bank-bank perlu lebih agresif membantu kakitangan mereka dengan memperkenalkan program tujuan semula pekerjaan untuk menambah kemahiran dan latihan semula.

“Bank juga perlu lebih bersedia dalam memberi pembiayaan kepada perkongsian awam-swasta (PPP) atau projek diswastakan memandangkan cabaran fiskal yang sedang kita hadapi sekarang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dijadual dibentangkan di Parlimen minggu depan, kerajaan akan menyediakan banyak transformasi bagi menangani beberapa cabaran struktur yang dihadapi ekonomi Malaysia.

“Sektor perbankan, sebagai pemain utama dalam ekonomi memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat pembangunan ekonomi kita. Sememangnya, selama bertahun-tahun ini, bank telah memberi sokongan padu kepada perniagaan dalam usaha mencapai pertumbuhan dan kemakmuran.

“Pada masa depan, pasca pandemik, perniagaan dan rakyat Malaysia akan mengharapkan lebih banyak sokongan daripada sektor perbankan,” katanya.