KOTA KINABALU, 23 Sept — Semua pihak termasuk ahli politik pembangkang diminta supaya mengenepikan sebarang perbezaan dan bersatu sebagai ‘Keluarga Malaysia’ dalam usaha membangunkan Sabah seterusnya mensejahterakan rakyat negeri.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yang membuat gesaan itu berkata nilai penyatuan Keluarga Malaysia yang tidak terbatas oleh politik, agama, kaum dan etnik telah lama menjadi amalan rakyat Sabah, justeru ia perlu terus dipamerkan dalam usaha mengembleng tenaga untuk memajukan Negeri di Bawah Bayu itu.

Katanya nilai itu penting kerana rakyat Sabah sudah jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang berbanding dengan rakyat Malaysia yang berada Semenanjung, dan tiada siapa yang dapat membantu memajukan negeri itu kecuali pemimpin serta rakyat Sabah sendiri.

“Gagasan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) berkenaan “Keluarga Malaysia” merupakan satu kekuatan bagi kita di negeri Sabah. Saya menyeru kepada semua ahli Yang Berhormat untuk terus mempamerkan nilai Keluarga Malaysia yang kita amalkan sejak dahulu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin atas ucapan dasar kerajaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Hajiji, yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata sebagai komitmen kebersamaan sebagai ‘Keluarga Malaysia’ kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sekali bayar ‘Sentuhan Kasih’ kepada semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dengan peruntukan RM7.3 juta.

“Saya berharap peruntukan ini akan dapat membantu semua wakil rakyat dan pemimpin setempat untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan. Ini merupakan tambahan kepada pelbagai jenis bantuan sedia ada yang telah dan sedang disalurkan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata dalam memulihkan ekonomi terjejas akibat COVID-19, semua wakil rakyat dan pemimpin setempat harus mengambil peranan sebagai ‘pemimpin ekonomi’ yang bersama-sama menggerak ekonomi setempat di peringkat akar umbi supaya taraf ekonomi keluarga dan komuniti ditingkatkan.

“Pendekatan terdahulu untuk menunggu program atau aktiviti ekonomi digerakkan oleh kerajaan sudah tidak relevan pada masa kini. Transformasi ekonomi setempat hendaklah diaktifkan komuniti di bawah ahli Yang Berhormat sekalian,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika menggulung perbahasan sama berkata 15 daripada 35 pakej Fasa Satu pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo dalam peringkat pembinaan pada masa ini, melibatkan 317.6 kilometer dengan kos RM7.98 bilion di bawah biayaan kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata 35 pakej Fasa Satu itu telah siap proses reka bentuk melibatkan pembinaan sejauh 706 kilometer dengan kos RM15.2 bilion.

“Bagi pakej yang sedang berjalan, semua pakej ini berada pada landasan yang tepat dan sedang dalam proses pembinaan, Jabatan Kerja Raya Sabah sentiasa memantau serta mengingatkan kontraktor supaya menyelenggara jalan sedia ada yang masih menjadi laluan rutin masyarakat.

“Hanya satu pakej telah diluluskan untuk tahun ini, dan bakinya yang sebanyak 19 pakej masih menunggu kelulusan peruntukan selanjutnya dari kerajaan Persekutuan,” katanya menambah projek pembinaan tiga fasa itu melibatkan pembinaan keseluruhan sepanjang 1,236 km dengan kos RM40.2 bilion.

Sementara itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kerajaan negeri bercadang untuk memberi kebenaran bergerak dalam zon daerah ditetapkan sebagaimana yang pernah dilaksanakan sebelum ini setelah kadar vaksinasi COVID-19 mencapai tahap 60 peratus.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata pada tahap vaksinasi 70 peratus pula kerajaan negeri bercadang memberikan kebenaran rentas daerah seluruh negeri secara berperingkat.

“Apabila kita capai 90 peratus, jangkaannya akhir Oktober ini, kita benarkan rentas negeri, bagaimanapun ini semua kita buat secara berperingkat dan berdasarkan situasi semasa,” katanya yang mengulung perbahasan sama.

Usul itu kemudian diluluskan dengan suara terbanyak, sebelum Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M.Yahya menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.