MUAR, 24 Sept — Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, parti berkenaan tidak ada masalah untuk terus bekerjasama dengan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika parti itu memilih untuk bersama.

Meskipun menjalin kerjasama membentuk kerajaan pada hari ini, Muhyiddin berkata, BERSATU masih kurang jelas dengan hala tuju UMNO pada masa depan sama ada akan terus kekal dengan kerjasama seperti sekarang atau sebaliknya.

“Hubungan kita dengan parti-parti lain seperti UMNO dalam kerajaan sekarang memang ada di peringkat nasional dan negeri, cuma kita kurang jelas hala tuju ke depan sama ada UMNO akan terus bersama begini atau ada pilihan tersendiri, itu bukan hak saya untuk tentukan.

“Jika mereka sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika tidak, kita akan menentang mereka pada PRU akan datang. Ini adalah prinsip kita yang mana saya rasa ia sememangnya diterima oleh semua ahli BERSATU.

“Setakat ini apa yang kita yakin, kita akan terus berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan, ini cuma andaian (UMNO tidak sokong PN), sesuatu yang kita pun masih tidak pasti. Jadi, adalah sukar untuk saya ramalkan apa perkara yang akan berlaku,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Badan Pimpinan BERSATU Johor di Pejabat BERSATU Bahagian Pagoh, di sini hari ini.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, disebabkan keadaan itu, BERSATU bersama-sama PAS dan GERAKANn akan terus bergerak ke arah memperkukuh Perikatan Nasional (PN) termasuk memperkemaskan jentera masing-masing sebagai persediaan menjelang pilihan raya.

“Saya minta setiap bahagian (BERSATU) perkemas jentera masing-masing, ini tidak bermakna PRU akan tiba esok tetapi biasalah apabila sampai masa pilihan raya diadakan nanti kita harap dapat mencapai kejayaan.

“Di Johor, saya minta BERSATU bergerak rapat dengan PN, kita pakai warna biru untuk bendera, logistik dan cenderahati yang wajar untuk beri impak besar kepada pengundi termasuk di seluruh negara.

“Langkah itu agar kita lebih akrab dalam menjalankan program bersama-sama dan tidak berasingan supaya rakyat mendapat mesej PN Johor memang berfungsi,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yakin PAS akan terus bersama dalam PN terutamanya bagi menghadapi PRU-15 berdasarkan sokongan sehingga kini daripada pucuk pimpinan PAS dan ahli parti itu dalam mesyuarat berkaitan agenda yang diperjuangkan PN.

“Setakat yang saya sedar waktu mula kita daftar PN, PAS adalah penajanya dan PAS telah bersama-sama dalam PN sejak ia ditubuhkan dan kemudian barulah parti lain menyertainya.

“Sehingga ke hari ini saya lihat dalam semua mesyuarat yang kita adakan, wakil PAS dan Presidennya di peringkat pusat serta pucuk pimpinan PAS datang bersama-sama berbincang banyak perkara berhubung kait dengan kerajaan dalam PN. Jadi setahu saya ini tidak berubah sehingga sekarang,” katanya.