MUAR, 24 Sept — Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengiktirafan sijil vaksinasi secara bersama-sama antara Malaysia dan Singapura kelak akan memudahkan urusan rentas sempadan bagi pelbagai tujuan, terutamanya pekerjaan.

Beliau berkata, perbincangan ke arah itu akan diadakan antara Malaysia dan Singapura yang memiliki hubungan rapat dalam melaksanakan urusan seharian.

Menurutnya, pembukaan sempadan antara Malaysia dan republik itu juga berupaya mengukuhkan kestabilan ekonomi ekoran aktiviti eksport dan import yang banyak membabitkan kedua-dua pihak.

“Antara perkara yang akan kita perhalusi bila dianggap sesuai dan Singapura bersetuju (setelah) vaksinasi sudah sampai ke peringkat lengkap, sijil kita dan sijil Singapura diiktiraf bersama-sama.

“Ini akan membolehkan pergerakan antara kedua-dua negara dan sempadan lain pun akan dibuka. Semua itu akan diambil kira. Tetapi pastinya bila sampai situasi vaksinasi sudah meningkat, negara sudah menjadi lebih selamat, maka sempadan-sempadan berkenaan akan mula dibuka,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Badan Pimpinan BERSATU Johor di Pejabat BERSATU Bahagian Pagoh, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu juga ada berhubung dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi membincangkan perkara berkenaan yang turut dipersetujui Hsien Loong.

Namun, langkah tersebut memerlukan penelitian khusus membabitkan soal keselamatan dan kesihatan.

“Kita akan teliti daripada data dan sains serta pandangan daripada pakar-pakar termasuk di peringkat Kementerian Kesihatan serta termasuk juga soal keselamatan sempadan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Dengan keadaan COVID-19 dan vaksinasi di Malaysia dan Singapura yang masih belum selesai mungkin beliau (Hsien Loong) agak berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, perbincangan mengenai sempadan sering diutamakan dalam mana-mana mesyuarat termasuk ketika beliau menjadi Perdana Menteri yang bukan sahaja perlu dibuka kepada pelancong, malah rakyat negara ini yang mahu ke negara lain.

“(Tetapi) Soal rentas daerah dan negeri pun masih belum dibuka, apatah lagi rentas antarabangsa untuk orang nak keluar negara lain atau pun orang asing yang mahu datang ke Malaysia,” katanya.