PAGOH, 25 Sept — Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan supaya majlis seumpama itu ditubuhkan pada peringkat negeri dan daerah.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bertujuan memudahkan segala bentuk usaha pemulihan yang dilaksanakan kerajaan, dapat diterima pada peringkat akar umbi dengan lebih berkesan dan cepat.

“Penubuhan majlis pemulihan negeri mungkin akan dipimpin Menteri Besar atau Ketua Menteri, manakala pada peringkat bawah itu ialah Jawatankuasa Tindakan Daerah.

“Jawatankuasa Tindakan Daerah yang sedia ada boleh dibahagikan dengan peranan yang lebih kepada aspek pemulihan, sekali gus dapat membantu lebih dekat dan terperinci keadaan sebenar di bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga di Pasar Tani Pagoh Jaya, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, perkara itu akan dibawa untuk perbincangan dalam mesyuarat MPN, Isnin ini.

“Saya berharap ia akan mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri untuk dilaksanakan.

“Pihak MPN amat menyedari bahawa pandemik COVID-19 memberi kesan besar terhadap ekonomi rakyat. Justeru, peranan pemimpin akar umbi amat penting digerakkan dalam usaha memulihkan ekonomi rakyat,” katanya.

Malah, beliau berkata, pemimpin peringkat bawah juga dapat membantu memulihkan kehidupan rakyat yang terkesan dengan penularan wabak itu.

“Sebahagian rakyat sudah jatuh ke paras kemiskinan. Jika dahulu dalam kategori M40, boleh dikatakan sebahagian daripada mereka kini turun ke kategori B40.

“Data berkenaan sudah dikumpul daripada Kerajaan Persekutuan menerusi eKasih dan lain-lain sistem maklumat yang telah disediakan,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin turut menyantuni penduduk di sekitar Pagoh Jaya melalui Program Ziarah Prihatin, sekali gus menghulurkan bantuan bakul makanan dan keperluan asas bagi mereka yang menghidap penyakit kronik.