KUALA LUMPUR, 25 Sept — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan menyalurkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada 23,487 pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti awam (UA) bagi kemasukan sesi Oktober ini.

PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan, lebih RM35 juta diperuntukkan bagi tujuan itu, dengan setiap pelajar akan menerima RM1,500 bagi menampung sebahagian perbelanjaan untuk persiapan, selain memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki UA disebabkan masalah kewangan.

“WPP diberikan kepada pelajar warga tempatan yang membuat persetujuan menerima WPP ketika memohon UPU Online atau melalui portal kemasukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan ibu bapa atau penjaga pelajar ialah penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan PTPTN.

“Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 24 September hingga 23 November 2021. Pelajar boleh menunaikan WPP ini di mana-mana cawangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 24 September ini dengan membawa surat tawaran WPP dan MyKad pelajar itu sendiri (wakil adalah tidak dibenarkan).

“Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP mulai 27 September ini melalui portal rasmi PTPTN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PTPTN memaklumkan, pihaknya turut menyantuni tiga pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah ke rumah pelajar berkenaan di Kubang Pasu, hari ini, di mana Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyerahkan surat tawaran WPP kepada setiap pelajar.

Wan Saiful pada program itu, berkata sejak WPP diperkenalkan pada 1999 sehingga 31 Julai lalu, seramai 942,025 pelajar menerima manfaat bantuan itu, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.39 bilion.

Beliau berharap, WPP itu akan digunakan pelajar dengan sebaik mungkin dan menjadi pemangkin untuk mereka belajar bersungguh-sungguh.

Sementara itu, PTPTN memaklumkan, pelajar boleh mula membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui Portal PTPTN bermula 1 hingga 30 September ini bagi kelompok pertama atau 1 hingga 31 Oktober ini bagi kelompok kedua, untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan mengikut proses.

“Pelajar boleh merujuk Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPTA masing-masing atau terus menghubungi PTPTN jika terdapat sebarang pertanyaan.

“Maklumat lanjut berkenaan pinjaman dan WPP PTPTN juga boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my,” katanya.