KUALA LUMPUR, 27 Sept — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang berusaha membantu pekebun kecil sawit di Sarawak untuk menyegerakan proses pengeluaran geran berstatus Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Sarawak yang telah diberikan geran hak milik (surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri).

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri Sarawak pada 9 Sept lepas berhubung isu berkenaan dan sedang meneliti beberapa pendekatan termasuk menghidupkan semula jawatankuasa bertindak antara KPPK dan kerajaan Sarawak bagi mempercepatkan usaha itu.

“Kementerian juga sedang mengkaji pendekatan yang lebih bersesuaian dalam pemberian sebarang bantuan kerajaan melibatkan tanah NCR,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Jugah anak Muyang @ Tambat (Bebas-Lubok Antu) mengenai status pemilikan tanah di bawah status tanah NCR bagi sektor sawit.

Menurut Zuraida, terdapat seramai 40,713 pekebun kecil berlesen dengan jumlah keluasan 234,927 hektar di Sarawak.

Daripada jumlah itu, dianggarkan 80 peratus atau 32,570 pekebun kecil beroperasi di tanah NCR dengan jumlah keluasan 187,942 hektar.