KUALA LUMPUR, 28 Sept — BERSATU Segambut pada Isnin mengagihkan sumbangan zakat dalam bentuk pemberian khas ‘one-off’ sebanyak RM100 bagi 70 orang penerima dan Bantuan Bakul Makanan Prihatin Negara kepada golongan asnaf dan ibu tunggal yang terpilih.

Ketua Bahagian BERSATU Segambut Mahathir Mohd Rais berkata program anjuran Biro Srikandi Muda Segambut itu merupakan satu inisiatif untuk memberi bantuan bagi membantu golongan kurang berkemampuan yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

“Seramai 100 orang penduduk dari Taman City Kanan, Kampug Sungai Udang, Segambut Tengah, Kampung Sungai Penchala dan Bandar Manjalara Parlimen Segambut menerima bantuan tersebut melalui Program Misi Wanita Prihatin anjuran Biro Srikandi Muda Segambut,” katanya.

Mahathir berkata program pemberian sumbangan dan bantuan seperti itu akan terus berjalan supaya bebanan kehidupan masyarakat sedikit sebanyak dapat dikurangkan.

Mahathir turut menegaskan pihaknya akan melipat gandakan usaha untuk mengenalpasti lebih ramai asnaf dan golongan ibu tunggal yang memerlukan untuk menjaga keperluan dan kebajikan mereka.

“Usaha seperti ini kita akan lakukan secara berterusan untuk setiap bulan selagi saya termampu dan ada daya, saya akan berikan yang terbaik untuk masyarakat khususnya penduduk di kawasan segambut.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung dan membantu keperluan sara hidup mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.