KUALA LUMPUR, 28 Sept — Projek pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang dijangka siap pada tahun 2025 merupakan berita gembira buat rakyat Kelantan.

Ketua Bahagian BERSATU Bachok, Mohd Zulkifli Zakaria berkata pengumumam mengenai perkara tersebut yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12) disifatkan sabagai satu langkah yang tepat.

Beliau berkata, sekiranya projek pembinaan lebuh raya tersebut dapat disiapkan dalam jangka masa yang dijanjikan, rakyat Kelantan khususnya yang merantau dapat memendekkan jangka masa perjalanan untuk pulang ke kampung halaman.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pembentangan RMK12 oleh Ismail sabri kerana saya dapat melihat adanya perubahan dari segi pembangunan untuk negeri Kelantan.

“Anak-anak (rakyat kelantan) yang merantau di Kuala Lumpur juga dapat pulang ke kampung halaman dalam jangka masa yang lebih cepat memandangkan ada laluan alternatif lain yang boleh mereka gunakan,” katanya.

Ismail Sabri semasa membentangkan RMK12 di Dewan Rakyat pada Isnin berkata, beberapa perancangan dan sasaran digariskan dalam RMK12 yang akan dilaksanakan dan dicapai dalam tempoh pelaksanaan pelan itu dari tahun 2021 hingga 2025.

Antaranya termasuklah Projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Mengulas lanjut, Zulkifli mengharapkan agar lebih banyak pembangunan infrastruktur yang dibina di Kelantan dapat disiapkan dalam kadar segera.

Jelas Zulkifli, sekiranya lebih banyak kemudahan infrastruktur di negeri itu dapat disiapkan dalam kadar segera maka rakyat Kelantan akan lebih mudah untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan kadar jangka masa yang lebih pendek.