KUALA LUMPUR, 30 Sept — Golongan belia di Malaysia berpotensi untuk menyerlah di peringkat antarabangsa dan menyaingi golongan belia negara-negara luar dalam bidang yang diceburi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian percaya perkara tersebut dapat direalisasikan sekiranya pelaburan dan kepercayaan diberikan kepada golongan tersebut.

“Belia negara kita amat berpotensi. Buktinya, ada atlet belia kita seperti Pandelela Rinong dan lain lain ini menyumbang pingat dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Pokoknya ‘we have to invest’.

“Sekiranya kita boleh berikan pelaburan dari segi kewangan, masa, tenaga dan kepercayaan kepada golongan ini (belia), saya yakin kita akan dapat lihat hasilnya dalam masa lima atau 10 tahun akan datang.

“Kita mahu golongan ini memberikan sumbangan secara berterusan untuk negara, bukan sahaja dalam acara sukan tetapi semua bidang yang mereka ceburi. Itu yang kita mahukan,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini di Bernama TV.

Mengulas lanjut, Jaziri menggesa semua pihak untuk memastikan golongan belia di Malaysia diberikan peluang untuk mengembangkan bakat, potensi dan kemahiran golongan belia di negara.

Jelas beliau, setiap individu dalam kalangan belia mempunyai kemahiran tersendiri yang dapat memberi manfaat kepada negara.

“Pada pendapat saya, semua pihak perlu memainkan peranan mereka baik kerajaan, swasta ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan potensi atau kemahiran golongan belia dapat ditingkatkan.

“Mereka (belia) juga perlukan pelaburan dari segi pembangunan infrastruktur kerana tidak guna mereka ada kemahiran jika kita tidak sediakan kemudahan kepada mereka.

“Saya ada kesempatan untuk bertemu dan mengadakan sedikit perbincangan dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, belia mengatakan golongan belia akan diberikan perhatian yang tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Jadi kita sudah nampak dengan jelas apa perancangan dari pihak kerajaan terhadap golongan belia untuk memastikan potensi mereka dapat diserlahkan,” ujar beliau.