KUALA LUMPUR, 30 Sept — Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU bersetuju melantik Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar sebagai Ketua Sayap Bersekutu pertama parti itu, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Setiausaha Agung BERSATU itu dalam kenyataan berkata, persetujuan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat MPT yang dipengerusikan oleh Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

“Majlis Pimpinan Tertinggi mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan percaya bahawa pelantikan YB Santhara Kumar mampu menarik lebih banyak penyertaan ahli-ahli bersekutu dan seterusnya meningkatkan sokongan rakyat daripada semua lapisan masyarakat kepada BERSATU,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, Santhara yang juga bekas ahli PKR menjadi Ahli Parlimen bukan Bumiputera pertama menyertai BERSATU.

Kemudian pada persidangan agung tahunan pada November tahun lalu, BERSATU mewujudkan sayap parti untuk anggota bukan Bumiputera dan bukan Melayu, yang dikenali sebagai ahli bersekutu.

Ia selepas perwakilan persidangan agung itu sebulat suara bersetuju meminda perlembagaan parti untuk membentuk sayap parti bagi ahli bersekutu.

Dalam pada itu, Hamzah berkata MPT menetapkan tarikh Persidangan Agung Tahunan BERSATU 2021 akan berlangsung pada 18 dan 19 Disember ini yang akan dilakukan secara fizikal, maya atau “hybrid” bergantung kepada kelulusan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, MPT juga telah menetapkan 9 hingga 30 Oktober nanti untuk persidangan cawangan, manakala 12 hingga 14 November sebagai tarikh persidangan bahagian parti itu.