KUALA LUMPUR, 30 Sept — Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU menetapkan tarikh Persidangan Agung Tahunan BERSATU 2021 akan berlangsung pada 18 dan 19 Disember ini.

Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata persidangan agung tahunan itu akan dilakukan secara fizikal, maya atau “hybrid” bergantung kepada kelulusan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

“MPT juga telah menetapkan 9 hingga 30 Oktober nanti untuk persidangan cawangan, manakala 12 hingga 14 November sebagai tarikh persidangan bahagian parti itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, MPT BERSATU bersetuju melantik Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar sebagai Ketua Sayap Bersekutu pertama parti itu.

Persetujuan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat MPT yang dipengerusikan oleh Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.