KUALA LUMPUR, 30 Sept — Malaysia sedang mengenal pasti beberapa pasaran baharu yang berpotensi tinggi untuk meningkatkan eksport industri perabot, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata antaranya ialah Amerika Utara, Kanada dan Timur Tengah.

“Ini adalah negara yang kita akan teroka, negara yang memerlukan kayu daripada hutan tropika,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Seri Hasan Ariffin (BN-Rompin) mengenai langkah kementerian untuk merancakkan lagi industri perabot supaya mampu menambah nilai eksport negara.

Katanya nilai eksport perabot pada 2019 dan 2020, masing-masing berjumlah RM9.14 bilion dan RM10.63 bilion manakala bagi tempoh Jan-Jun 2021, nilai eksport perabot sebanyak RM5.58 bilion.

Zuraida berkata kementerian juga sedang membangunkan bakat pereka muda dalam bidang reka bentuk perabot untuk memajukan reka bentuk perabot dari Malaysia ke pasaran antarabangsa melalui transformasi daripada Pembuatan Peralatan Tulen kepada Pembuatan Reka Bentuk Sendiri dan Pembuatan Jenama Sendiri.

“Bagi memastikan kesahan produk perkayuan Malaysia diterima bukan sahaja oleh pasaran Kesatuan Eropah tetapi juga pasaran lain, kementerian juga dalam usaha memperkukuh pensijilan Sistem Jaminan Kesahan Kayu Malaysia (MYTLAS) Semenanjung Malaysia.

“Kementerian turut menganjurkan program untuk membantu pengusaha industri perabot menembusi pasaran antarabangsa seperti Misi Menteri ke Dubai sempena World Expo Dubai dan Lawatan Pasaran MTC ke ASEAN dan Oceania,” katanya.

Menurut Zuraida, kementerian menyasarkan nilai eksport perabot berjumlah RM12.5 bilion sehingga akhir 2021, pertumbuhan sebanyak 20 peratus daripada nilai eksport pada 2020.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) mengenai perancangan kerajaan untuk menggalakkan penglibatan Bumiputera dalam industri perkayuan, katanya kementerian sedang mengkaji semula untuk memperbaiki modul perniagaan sedia ada agar dapat membantu mereka menjadi usahawan yang maju dan berdaya saing.

“Kita mempunyai bajet khusus untuk membangunkan Bumiputera dan ini akan dimanfaatkan dengan cara yang terbaik, lebih menjimatkan kos dan produktif yang akan mendatangkan hasil berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata satu dasar baharu akan dirangka bagi meneruskan semula Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) secara teratur dan tersusun dengan cara pemberian geran kepada golongan bersasar B40 yang mempunyai tanah 4 hektar (10 ekar) ke bawah untuk tanaman sawit.

“Kita akan merangka formula bagaimana untuk membantu dengan memberikan geran, bukan pinjaman seperti sebelum ini.

“Pada masa ini, terdapat 238,108 pekebun kecil persendirian dalam negara merangkumi 895,297 hektar dan 40 peratus daripada pekebun sawit yang terlibat dalam industri ini terdiri daripada pekebun kecil,” katanya.

Terdahulu, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) meminta kerajaan menyatakan sekiranya pihak kementerian bercadang untuk memperkenalkan semula skim TSPKS secara percuma kepada pekebun kecil.