KUBANG PASU: Pengurusan keselamatan dan penguatkuasaan di sempadan negara akan dikendalikan sepenuhnya di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggantikan peranan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PDRM menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) akan meneruskan semua fungsi dan peranan yang telah dilaksanakan Aksem di seluruh sempadan negara melalui peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurutnya, penstrukturan semula dalam merasionalisasikan Aksem dibuat bagi meningkat fokus kawalan dan penguatkuasaan di seluruh sempadan di negara ini.

Katanya, PDRM melalui PGA akan meneruskan semua fungsi dan peranan yang telah dilaksanakan Aksem di seluruh sempadan negara melalui pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada.

“Hari ini, akan tercatat satu lagi peristiwa di dalam lembaran sejarah negara, apabila pasukan PDRM diberikan amanah dan tanggungjawab baharu yang lebih besar dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan tugas dan fungsi Aksem kepada PDRM di Kompleks Aksem di Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Aksem ditubuhkan pada 29 Disember 2017 dengan pewartaan Akta 799 melalui gabungan keanggotaan tiga agensi induk iaitu PDRM, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Bermula 1 Januari 2018, AKSEM berfungsi sebagai agensi kerajaan Persekutuan dengan kekuatan 909 perjawatan dan beroperasi di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Beliau memberitahu, menerusi penstrukturan semula itu, Hamzah berkata, anggota Jabatan Imigresen dan JKDM dalam Aksem akan diserap kembali ke jabatan masing-masing.

“Semua pegawai itu akan balik kepada agensi masing masing dan ada setengahnya kita tanya sama ada mereka mahu untuk meneruskan atau tidak, ini yang telah kita lakukan dan aset-asetnya termasuk bangunan kita akan serahkan kepada PDRM,” katanya.

Hamzah berkata, PDRM juga sudah merangka pelan strategi secara penstrukturan semula PGA termasuk meletakkan pasukan itu di Perlis, Kedah, Kelantan serta Sabah dan Sarawak.

“Kita yakin fungsi dan peranan agensi penguatkuasaan keselamatan di sempadan negara selepas ini dapat diperkukuhkan dengan penyerapan isu berkaitan ‘command and control’ dapat dilakukan secara terus dan lebih mudah,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Hamzah berkata, kedudukan Malaysia yang strategik di Asia Tenggara menjadikan pengurusan dan pengawalan sempadan negara ini sangat mencabar.

“Cabaran yang dihadapi menjadi semakin kompleks apabila berlaku migrasi penduduk di rantau ini atas faktor politik mahupun ekonomi.

“Situasi itu meningkatkan aktiviti lintas batas yang boleh menyumbang kepada kebolosan sempadan, kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah dan barangan bercukai termasuk pemerdagangan manusia,” ujarnya.