KUALA LUMPUR, 30 Sept — Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya menilai semula peranan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC).

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, GLC sepatutnya membantu dalam pemulihan ekonomi dan pertumbuhan bukannya bersaing dengan sektor swasta.

“Peranan GLC dan GLIC perlu dinilai semula agar aset-aset kerajaan yang ada dapat dioptimumkan untuk membantu mengukuhkan infrastruktur negara bagi memantapkan proses pemulihan ekonomi dan pertumbuhan ekonomi selanjutnya.

“GLC diminta supaya tidak bersaing dengan sektor swasta demi mengukuhkan keusahawanan negara kita. Mereka seharusnya melabur dalam bidang yang berimpak tinggi termasuk meneroka pasaran baharu dalam dan luar negara,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi tumpuan kepada memperkukuhkan sektor-sektor ekonomi yang memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ini bagi menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merancakkan pemulihan Malaysia dan menjadikan negara sebagai destinasi mesra perniagaan dan pelaburan, yang mempunyai teknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah atau value-added yang lebih besar,” katanya.