KUALA LUMPUR, 30 Sept — Tujuh pesawat latihan lanjut model Aermacchi MB-339 di bawah perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal diganti dengan pesawat platform tunggal baharu yang mempunyai keupayaan dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan dan pesawat tempur ringan.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata pesawat keluaran Itali berkenaan yang memasuki perkhidmatan TUDM pada 2009 kini digantung pengoperasiannya sejak 2018 susulan kemalangan di Kuantan, Pahang dan beberapa masalah teknikal berkaitan enjin pesawat itu.

Beliau berkata perolehan pesawat baharu bagi menggantikan pesawat itu merupakan antara fokus 10 tahun pertama iaitu dari 2021 sehingga 2030 di bawah Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

“Berdasarkan tempoh hayat ekonomi pesawat pejuang dan Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM, pesawat ini (Aermacchi MB-339) dirancang ditamat pengoperasian pada 2028.

“Perolehan pesawat baharu yang berupaya melaksanakan dwifungsi bukan sahaja mampu memberi pulangan penjimatan kepada kewangan kerajaan, malah turut meningkatkan keupayaan pertahanan negara,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai rancangan penamatan operasi Aermacchi MB-339CM dan jumlah rekod penerbangan tujuh buah pesawat sehingga kini.

Ikmal Hisham berkata hala tuju pesawat itu juga akan ditentukan selepas Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) melaksanakan audit ke atas pihak pengeluar peralatan tulen (OEM) enjin.

“Audit ini dijadual tahun lepas, tetapi ditangguhkan atas faktor pandemik,” katanya.

Ikmal Hisham berkata tujuh pesawat berkenaan melengkapkan sebanyak 5,961 jam penerbangan.