KUALA LUMPUR, 1 Oct — Jawatankuasa Bahagian, Srikandi serta Armada BERSATU bahagian Kota Melaka menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selaku Ketua Menteri.

Ketua Bahagian BERSATU Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata BERSATU akan terus fokus dengan agenda kerajaan untuk menangani COVID-19 serta membantu masyarakat khususnya rakyat di negeri Melaka dalam isu kehidupan dan ekonomi.

“Segala usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri adalah tidak di sokong.

“BERSATU Kota Melaka kekal menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selaku Ketua Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Desas-desus mengenai pembubaran kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO mulai hangat diperkatakan berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH).

Pada masa ini, kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.

Jika empat ADUN tersebut melompat, ia bermakna PH akan mempunyai majoriti 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memerintah.

Khabar angin turut bertiup kencang mendakwa, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dalam usaha untuk menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.