KUALA LUMPUR, 1 Oct — Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen tetap dengan pendirian menyokong kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Malah, beliau turut menegaskan tidak terbabit dalam usaha yang didakwa untuk menjatuhkan Kerajaan Melaka, ketika ini.

“Saya ada terbaca berita-berita di media arus perdana dan media sosial tentang desas-desus pergolakan politik yang berlaku di Negeri Melaka ketika ini.

“Saya berharap, segala kemelut politik yang dicetuskan dapat dihentikan dengan segera demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, sepatutnya fokus pada ketika ini adalah tertumpu kepada usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi susulan pandemik COVID-19.

“Saya berpendapat, segala fokus ketika ini harus tertumpu kepada usaha pemulihan negara dan negeri Melaka terutamanya kesihatan serta ekonomi rakyat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan spekulasi yang mendakwa kerajaan negeri Melaka bergolak apabila empat ADUN kerajaan dikatakan bakal melompat ke Pakatan Harapan (PH).

Pada masa ini, kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.