KUALA LUMPUR, 1 ​​Okt — Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken mengadakan perbualan telefon pada khamis malam dan kedua-dua pemimpin berazam untuk memastikan momentum hubungan dua hala terus kekal kukuh.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), hubungan dua hala itu merangkumi pelbagai aspek termasuk kesihatan dan keselamatan serta perdagangan dan pelaburan.

Saifuddin dan Blinken turut membincangkan pelbagai isu antarabangsa dan serantau, termasuk kerjasama tiga hala Australia-United Kingdom-AS (AUKUS), situasi di Myanmar dan Afghanistan serta Laut China Selatan.

“Saifuddin juga mengulangi penghargaan Malaysia kepada AS yang bermurah hati menyumbangkan satu juta dos vaksin COVID-19 Pfizer kepada Kerajaan Malaysia pada Julai lalu dan bantuan kewangan US$800,000 melalui Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah sebagai menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

AS, melalui kedutaannya di Kuala Lumpur, turut menghulurkan pelbagai bantuan serta sumbangan lain bernilai US$2.85 juta kepada Malaysia sejak pandemik melanda.

“Kedua-dua pemimpin menyuarakan komitmen untuk terus memelihara hubungan antara kedua-dua negara, termasuk pertukaran kunjungan bagi memanfaatkan potensi besar Kerjasama Komprehensif Malaysia-AS,” menurut kenyataan itu.