KUALA LUMPUR, 2 Okt — Inisiatif Bina Bangsa (BINA) menganjurkan sebuah kursus kepimpinan dan kefahaman pentadbiran melalui program Akademi Bina Bangsa.

BINA dalam satu kenyataan berkata, melalui akademi tersebut peserta akan didedahkan dengan kefahaman mengenai falsafah pentadbiran, teori kepimpinan dan diskusi kritikal mengenail isu-isu semasa.

“Akademi Bina Bangsa kali ke-5 akan diadakan di Pulau Langkawi pada 4 Nov hingga 7 Nov 2021.

“Kehadiran ke Akademi Bina Bangsa terbuka kepada peserta lelaki dan wanita warganegara Malaysia berumur antara 21 hingga 40 tahun.

“Peserta yang berminat juga perlu menampung sendiri kos pengangkutan ke lokasi akademi dan boleh memberi komitmen untuk hadir ke program dengan penuh,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, BINA berkata bilangan peserta adalah dihadkan kepada 40 orang sahaja setiap kali program dijalankan.

“Untuk memastikan keberkesanan program dan pembentukan ukhuwah dalam kalangan peserta, bilangan peserta adalah terhad kepada 40 orang sahaja.

“Pemilihan peserta akan dilakukan secara kompetitif dan keputusan pemilihan penganjur adalah muktamad,” katanya.

Untuk rekod, Institusi Bina Bangsa adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dinaungi oleh Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Semua yang berminat untuk memohon perlu mengisi borang di pautan https://bit.ly/3AXDa2m.