BUKIT GANTANG, 2 Okt — Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memperluaskan platform jualan untuk mengedarkan ikan segar dan sejuk beku secara dalam talian di seluruh negara tahun hadapan.

Pengerusinya Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata pihaknya telah meminta Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang mempunyai kemampuan, untuk melaksanakan pengedaran ikan segar itu dalam usaha menangani monopoli orang tengah.

Beliau berkata jualan dalam talian itu dapat membantu meningkatkan pendapatan nelayan, dengan menjual terus kepada pengguna, lebih-lebih lagi pada ketika permintaan terhadap ikan segar dan sejuk beku meningkat terutamanya daripada pengguna di kawasan bandar.

“Nelayan boleh terus hantar ikan segar kepada pengguna dalam tempoh dua hingga tiga hari, kerana pengguna di bandar mahukan ikan yang segar.

“Kita mempunyai 87 PNK yang boleh melaksanakan jualan ikan segar itu,” katanya pada sidang media selepas Program Penyerahan Bantuan Input Tanaman Kontan sebanyak RM71,000, kepada peserta program tanaman kontan di Kampung Permatang Raja dekat sini hari ini.

Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata setakat ini Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), sudah melaksanakan pengedaran ikan segar sejuk beku secara dalam talian dan ia mendapat sambutan menggalakkan.

Beliau berkata ia merupakan kaedah perniagaan baharu yang perlu diceburi para nelayan pada zaman teknologi maklumat.

Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata LKIM memperuntukkan RM4.6 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk membantu 2,500 nelayan, bagi memajukan tanaman kontan di seluruh negara hingga 2025.

Menurut beliau nelayan boleh melaksanakan projek tersebut secara profesional, kerana LKIM akan memberikan bantuan modal awal bagi melaksanakannya.

“Sebelum ini LKIM memberikan modal sebanyak RM1,000 untuk orang perseorangan dan jumlah itu dinaikan kepada RM2,000 untuk dilaksanakan secara berkelompok sejak 2020,” katanya menambah banyak tanah terbiar boleh dimajukan secara sewa dan tanaman boleh dibuat secara fertigasi kerana ia tidak memerlukan tanah yang luas.

Menurut Syed Abu Hussin program itu bertujuan meningkatkan pendapatan isi rumah nelayan sehingga mencapai RM10,000 sebulan.

“Cara ini dapat membantu keluarga nelayan meningkatkan taraf hidup mereka di samping mengurangkan kos sara hidup dengan memajukan tanaman kontan secara sampingan selain menjadi nelayan,” katanya.