KUALA LUMPUR, 3 Okt — Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan menerusi kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menggiatkan urusan daftar pemilih yang dijalankan khusus di Wilayah Persekutuan.

Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata usaha tersebut untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kewajipan mengundi selain daripada membantu pihak SPR menjalankan kerja-kerja mendaftar pemilih.

“Hari ini, kita melihat sikap dan mentaliti antara punca orang Melayu tidak mendaftar sebagai pemilih apabila mencapai usia.

“Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, umur 18 tahun kini merupakan tarikh umur matang untuk kita menentukan siapa yang layak memerintah negara kita yang tercinta ini.

“Walaupun kita lihat satu undi itu nampak kecil tapi sebenarnya itulah kuasa terbesar yang ada pada diri kita untuk menentukan siapa pemimpin dan wakil rakyat di kawasan, sekaligus menentukan pimpinan tertinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahathir percaya landskap politik negara akan berubah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan penyertaan jutaan pengundi baru terdiri daripada golongan muda.

Tambah beliau, BERSATU Bahagian Segambut melalui sayap Armada telah menggerakkan program daftar pemilih dan sebanyak 400 pengundi baru daripada kalangan belia telah berjaya didaftarkan.

“Kami telah menggerakkan program daftar pemilih di dua lokasi khususnya dia Kampung Sungai Penchala dan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).

“Sambutan yang baik daripada masyarakat kampung dan pengunjung walaupun kempen ini telah beberapa kali diadakan di sini.

“Harus diingatkan bahawa suara setiap rakyat Malaysia adalah penting dalam menentukan masa depan anda, anak cucu dan negara,” ujar beliau.

Kempen kesedaran daftar pemilih ini adalah hasil inisiatif Pengerusi Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan Datuk Kapten (B) Suhaimi Yahya yang dibuat bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kewajipan mengundi.