KUALA LUMPUR, 3 Okt — Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin menafikan dakwaan kononnya beliau menutup sementara kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Zuraida berkata, pada ketika ini tiada bukti kukuh mengenai individu yang didakwa membunuh Adib memandangkan kes tersebut adalah kes rusuhan.

Tambah beliau, kes tersebut akan kembali dibuka setelah pihak polis mendapat bukti-bukti baharu mengenai insiden yang menyebabkan kematian anggota bomba tersebut.

“Ingin saya jelaskan, selepas inkues yang dibuat kes ini didapati adalah satu kes jenayah yang mengakibatkan kematian.

“Tetapi sehingga sekarang, pihak polis masih tidak dapat mengesan siapa individu yang mengakibatkan kematian Adib kerana kes itu adalah kes rusuhan di mana ramai orang yang terlibat.

“Jadi memandangkan pihak polis mengenalpasti siapa yang mengakibatkan kematian Adib, maka dicadangkan kes ini diteliti semula dan sekiranya ada bukti baru, boleh dibuka semula siasatan untuk kes Adib,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah video yang dimuat naik Malaysian Stories di YouTube yang mengulas kenyataannya dalam laporan Sinar Harian bahawa kes Adib telah ditutup sementara.

Bagaimanapun, Zuraida menafikan ada mengeluarkan kenyataan tersebut dalam temubual bersama akhbar harian itu.

Pada 25 Sept lalu, Zuraida berkata kes kematiadan Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Katanya, kerajaan kini akan memberikan fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Muhammad Adib meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah dalam satu insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada tahun 2018.