KOTA KINABALU, 4 Okt — Perpaduan antara parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus kekal walaupun parti Bersatu dan UMNO dijangka berhadapan antara satu sama lain pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata pengerusinya Datuk Hajiji Noor.

Ketua Menteri Sabah itu berkata landskap politik di Sabah adalah unik dan beliau menjelaskan bahawa semua parti dalam GRS telah sepakat untuk meneruskan penggal penuh pentadbiran lima tahun negeri itu.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata apa yang penting adalah sejak awal lagi mereka bersetuju untuk bekerjasama, di samping menjunjung mandat yang diberikan oleh rakyat kepada mereka bagi mentadbir negeri.

“Ada banyak kerja yang perlu dilakukan bagi melaksanakan agenda pembangunan kita, termasuk menguruskan pandemik COVID-19, dan pada masa yang sama menjayakan pemulihan ekonomi. Ketepikan politik dan mari kita fokus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

GRS terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (Bersatu, STAR, SAPP, PAS dan Gerakan), Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC, PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Semalam pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan kesediaan parti itu untuk berhadapan dengan Bersatu dalam pilihan raya umum berikutnya, dan akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sabtu lepas Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekiranya Bersatu perlu berhadapan dengan Umno pada PRU15 nanti, ia merupakan realiti politik, dan Bersatu memiliki strategi sendiri, bersedia untuk menghadapinya, semuanya terpulang kepada rakyat untuk memuktamadkan pilihan mereka.

Hajiji berkata kenyataan Muhyiddin itu berdasarkan kepada pengumuman Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu akan mempertahankan kerusi mereka dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam mempertahankan kerusi parlimen mahupun dewan undangan negeri yang dimenanginya pada pilihan raya lepas.

“Bagaimanapun dalam konteks politik Sabah, ia sangat unik di sini, keadaannya berbeza (berbanding di semenanjung). Bagi kami di Sabah, kami akan berbincang dengan semua parti komponen dalam GRS dengan bijak, dan mencapai penyelesaian terbaik dalam menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Pada PRU14 lepas Umno memenangi tujuh kerusi parlimen di Sabah, namun lima Anggota Parlimennya kemudian telah menukar sokongan dan beralih kepada Bersatu; yang terdiri daripada Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Ketika ini Umno mempunyai hanya dua daripada 25 kerusi parlimen di Sabah, yang dimenangi oleh Bung Moktar (Kinabatangan) dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) yang merupakan Timbalan Menteri Pendidikan II.