KUALA LUMPUR, 4 Okt — Kerajaan menggesa syarikat minyak sawit di Sabah dan Sarawak untuk mempertimbangkan melaksanakan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) dalam strategi pengurusan risiko mereka untuk terus kompetitif di peringkat global.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata penubuhan FEPO di Sabah dan Sarawak akan meningkatkan industri minyak sawit Malaysia ke peringkat lebih tinggi, terutamanya dalam menetapkan penanda aras untuk harga minyak sawit global.

“Pelancaran FEPO di Malaysia Timur, penyumbang kepada jumlah pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pada tahun lepas sebanyak 45 peratus, justeru tepat pada masanya untuk pembangunan industri minyak sawit di Sabah dan Sarawak.

“Syarikat di kedua-dua negeri itu boleh mengambil peluang tersebut untuk memasarkan minyak sawit mentah mereka terus kepada Bursa Malaysia Derivatives dan menjimatkan kos pengangkutan sebelum eksport,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran FEPO 2021 secara maya hari ini.

Katanya negara yang berdekatan dengan Sabah dan Sarawak seperti China kini boleh membeli minyak sawit di Malaysia Timur.

“Langkah sedemikian membolehkan ketelusan yang lebih baik dalam pasaran minyak sawit Malaysia Timur, berpotensi melindungi margin penapisan dan daya saing harga penggiat minyak sawit tempatan,” katanya.

Zuraida berkata pelaksanaan FEPO di Malaysia Timur akan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Selain itu, katanya kerajaan negeri akan dapat meraih manfaat dan memperoleh pendapatan tambahan daripada aktiviti pelabuhan selepas pengoperasian pemasangan tangki pelabuhan (PTI) untuk pasaran FEPO.

Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives Datuk Muhamad Umar Swift berkata dalam persekitaran yang amat tidak menentu ini, penting bagi perniagaan mempertimbangkan untuk melaksanakan strategi pengurusan risiko harga yang lebih kukuh untuk mengurangkan harga komoditi yang turun naik selain kekal kompetitif.

“Menjelang 2022, peserta pasaran perlu bersedia untuk satu lagi tahun yang tidak menentu, dengan banyak elemen penting berpotensi menyebabkan turun naik harga.

“Ini termasuk keadaan cuaca yang tidak dapat dijangka, pemulihan ekonomi yang tidak pasti dan potensi perubahan terhadap dasar perdagangan global,” katanya dalam ucaptama pada pelancaran FEPO 2021 secara maya.

Pada 2020, Zuraida berkata minyak sawit membentuk hampir 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyumbang 57 peratus daripada pengeluaran komoditi Malaysia kepada KDNK.

“Pandemik COVID-19 telah menjejaskan sektor komoditi agro di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali. Pada 2020, Malaysia menghasilkan 19.1 juta tan minyak sawit mentah (MSM), merosot sebanyak 3.6 peratus daripada tahun sebelumnya.

“Jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada 2020 susut sebanyak 7.0 peratus kepada 16.2 juta tan berbanding 2019, sebahagian besarnya berikutan sekatan import minyak sawit bertapis oleh India dalam tempoh enam bulan pertama 2020,” katanya.

Bagaimanapun, walaupun eksport MSM ke India mula meningkat semula sejak Julai 2020 susulan pengecualian duti eksport MSM oleh kerajaan, beliau berkata harga minyak sawit yang lebih tinggi, terutamanya pada separuh kedua 2020, membawa kepada kenaikan sebanyak 8.4 peratus kepada RM73.3 bilion dalam jumlah pendapatan eksport walaupun eksport minyak sawit rendah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor melihat FEPO memainkan peranan penting dalam pembangunan industri minyak sawit di Sabah pada masa depan.

“Ini akan membolehkan perniagaan minyak sawit domestik mencari harga alternatif melalui pertukaran dan, selepas tamat kontrak, peniaga dapat menghantar MSM ke mana-mana daripada tiga lokasi penghantaran yang ditetapkan, yang mana paling hampir dengan operasi perdagangan mereka.

“Selain itu, ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan di seluruh rantaian bekalan industri sawit, seperti pengangkutan, kemudahan penyimpanan, kaji selidik kualiti dan aktiviti hiliran yang lain,” katanya dalam ucaptamanya.

Di peringkat global, katanya FEPO akan diniagakan oleh peserta antarabangsa dan boleh menjadi platform pemasaran untuk mempromosikan produk berkaitan sawit Sabah dan menarik pelaburan langsung asing.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kontrak FEPO akan memberi jaminan kepada negeri bahawa ia akan berfungsi sebagai mekanisme keseimbangan semula, membolehkan mekanisme penemuan harga yang lebih baik dan pilihan untuk penghantaran fizikal di Sarawak dan Sabah.

“Saya yakin inisiatif ini akan membantu mengurangkan kerugian industri sawit kita di Sarawak dan Sabah kerana perbezaan harga yang dianggarkan bernilai RM1 bilion setahun. Saya juga gembira kerana Bursa Malaysia Derivatives telah memilih Bintulu sebagai satu daripada lokasi penghantaran yang ditetapkan untuk kontrak FEPO,” katanya.

Terletak secara strategik untuk memberikan perkhidmatan kepada laluan utama trafik maritim dalam Asia, katanya, lokasi penghantaran itu memberi kelebihan daya saing kepada Bintulu dalam mengeksport minyak sawit ke negara-negara pengguna utama, terutamanya di Asia Utara.

“Selain itu, Bintulu mempunyai kemudahan pemasangan pukal minyak sawit terbesar di Sarawak, dan menjadi pusat eksport utama untuk produk minyak makan, Bintulu mengendalikan 92 peratus daripada eksport minyak sawit Sarawak.

“Mempunyai lima kilang penapisan utama dan jeti minyak sawit yang khusus, Bintulu merupakan satu daripada Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) terbesar di Sarawak,” katanya.