ALOR SETAR, 5 Okt — Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan peruntukan lebih RM1.4 juta kepada kerajaan negeri sebagai bantuan bencana di Yan dan Kuala Muda, selain persediaan menghadapi monsun timur laut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata peruntukan itu adalah daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan NADMA.

Jelasnya, ia merangkumi RM836,000 bantuan wang ihsan mangsa bencana dan RM600,000 untuk perbelanjaan Operasi Monsun Timur Laut 2021/2022.

“Peruntukan ini boleh diguna untuk membeli peralatan tambahan sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah pada Isnin, bagi meninjau persiapan menghadapi bencana.

Cek disampaikan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Bahagian Pengurusan), Datuk Syed Shaharuddin Syed Abdullah.

Hadir sama Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab; Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah dan Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob.

Dr Abdul Latiff berkata, persiapan rapi perlu dibuat dalam menghadapi monsun timur laut yang dijangka melanda mulai November hingga Mac depan.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota APM yang terbabit dalam operasi bencana di Yan, sijil pendaftaran CDERT APM Kedah dan sijil penghargaan kepada Hotel Seri Malaysia.