KUALA LUMPUR, 7 Okt — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan memastikan pengusaha perniagaan mikro dan perniagaan informal diberi bantuan sewajarnya untuk pulih daripada kesan pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri berkenaan Muslimin Yahaya berkata kerajaan melalui TEKUN Nasional telah menyediakan Skim Pembiayaan Informal (SPIN) dalam usaha membantu usahawan sektor informal yang terjejas ekoran pandemik COVID 19 dengan pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa caj faedah.

Sektor informal adalah pertubuhan yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau mana-mana badan profesional termasuk pihak berkuasa tempatan.

“Melalui skim ini, sejumlah 2,197 usahawan informal ini telah diberikan kelulusan pembiayaan berjumlah RM14.1 juta ringgit setakat 1 Okt lepas,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) mengenai rancangan pemulihan untuk sektor industri mikro khususnya peniaga-peniaga kecil yang telah lama menutup perniagaan mereka akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut Muslimin, kerajaan juga telah memudah cara proses permohonan pembiayaan dengan mengurangkan lampiran dokumen yang diperlukan daripada 10 hingga 17 dokumen sebelum ini kepada tiga dokumen.

“Ini termasuk kad pengenalan, salinan akaun terkini dan pengesahan sebagai peniaga sama ada daripada persatuan penjaja, persatuan penduduk atau jawatankuasa penganjur pasar malam dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kelulusan juga dipercepatkan daripada 14 hari kepada tujuh hari bekerja dan pembayaran akan dikeluarkan dalam tempoh dua hari selepas menandatangani surat setuju menerima pembiayaan.