KUALA LUMPUR, 8 Okt — Wanita Perikatan Nasional (PN) menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak sesuai diadakan ketika negara masih lagi berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Wanita PN menerusi kenyataan memaklumkan walaupun negara kini sudah hampir mencapai sasaran imunisasi 90 peratus golongan dewasa, namun risiko jangkitan dikhuatiri meningkat jika ratusan ribu rakyat Melaka keluar mengundi.

“Proses pemulihan negara dan Melaka sedang berjalan lancar dan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Kerajaan PN sebelum ini yang dipimpin oleh Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini sudah mula menampakkan hasil positif,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun; Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh; Ketua Wiranita Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Evelyn Gobile; Ketua Wanita Parti Maju Sabah (SAPP), Irene Chan Kam Lan dan Ketua Wanita Nasional Gerakan, Janice Wong Oi Foon.

Bagaimanapun, Wanita PN bersedia untuk menghadapi PRN dengan mengikut Prosedur Operasi Standard yang ketat dan bersesuaian.

Selasa lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 dan satu PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan tindakan empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.