KUALA LUMPUR, 8 Okt — BERSATU Bahagian Kota Melaka memohon maaf kepada masyarakat dan pengundi di DUN Telok Mas di atas sikap tidak bertanggungjawab bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad yang telah menarik sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr Sulaiman Md Ali.

Dalam kenyataan hari ini, tindakan ADUN itu menyebabkan kerajaan negeri tumbang dan DUN terbubar.

“Makluman kepada semua, tindakan tidak matang serta tidak bertanggungjawab ini adalah kerana cetek pemikiran serta kurang berpengalaman di dalam politik.

“Sekaligus menggambarkan sifat sebenar beliau selama ini.

“BERSATU Bahagian Kota Melaka berjanji akan terus berkhidmat dan menjalankan tugas untuk memastikan kebajikan serta permasalahan di DUN Telok Mas akan terus terbela,” demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, BERSATU Bahagian Kota Melaka memaklumkan akan membuka pusat khidmat masyarakat DUN Telok Mas dengan segera bagi memastikan aduan dan permasalahan masyarakat dapat ditangani dengan tuntas.

“Bagi memastikan hal ehwal pengurusan pusat khidmat dapat dijalankan, Datuk Hishamuddin Abdul Karim selaku Ketua Bahagian dan Tuan Haji Mohd Farid Mohd Zaki selaku Setiausaha Penyelaras akan bertanggungjawab untuk menyelaras semua urusan pentadbiran pusat khidmat masyarakat DUN Telok Mas,” demikian menurut kenyataan tersebut.