AYER KEROH, 9 Okt — BERSATU yakin rakyat Malaysia, khususnya di Melaka, boleh membuat penilaian mengenai tindakan dan sikap ahli politik yang kemaruk kuasa sehingga mengganggu gugat kestabilan politik negeri.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ini kerana sekarang adalah masa untuk fokus berkhidmat untuk rakyat dijaga dari segi kebajikan, kesihatan, dan ekonomi negara dibangunkan semula dalam pemulihan COVID-19.

“Itu sepatutnya fokus kita. Bagaimanapun, ini telah berlaku. Kita terpaksa hadapi realiti ini.

“Rakyat Melaka marah dengan apa yang berlaku dan bukan ini yang dimahukan mereka.

“Rakyat melihat ahli politik ini tak ada benda lain yang difikirkan. Jadi, biarkan rakyat buat penilaian itu sekiranya ada pilihan raya kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir dalam sesi Taklimat Isu Semasa dan Persediaan Jentera Penerangan Negeri Melaka di sini malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Melaka Mohd. Rafiq Naizamohideen; Ketua Bahagian BERSATU Kota Melaka Datuk Hishamuddin Abdul Karim dan barisan kepimpinan BERSATU Melaka.

Pada 4 Okt lepas DUN Melaka dibubarkan kerana Kerajaan Negeri Melaka hilang majoriti dan berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) yang hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata BERSATU bukan punca masalah pergolakan politik di negeri ini.

Beliau kesal dengan tindakan empat ADUN terbabit yang diketuai ADUN daripada UMNO yang merupakan bekas ketua menteri Melaka, menjadi penyebab berlakunya krisis politik.

Justeru, kata Wan Saiful, BERSATU tetap bersedia sebarang kemungkinan jika berlakunya pilihan raya negeri namun berharap perbincangan dan rundingan dapat dilakukan antara PN dan BN.

“Pandangan kita ialah kita seboleh-bolehnya tak nak ada pilihan raya sebab ini bukan masalah yang ditimbulkan oleh BERSATU.

“Jika terjadi pilihan raya, seboleh-bolehnya gabungan di peringkat Persekutuan dikekalkan sama di peringkat negeri Melaka. Saya masih berharap ada ruang untuk berunding dengan sihat dan baik. Saya yakin kalau sekiranya kita boleh jaga kesatuan di antara parti-parti politik yang terasnya Melayu-Islam, maka kita ada peluang yang besar untuk boleh menang dengan sihat di Melaka dan boleh berkhidmat dengan baik kepada rakyat.

“Kalau ada mana-mana pihak yang bertegas tidak mahu berbincang dan tidak mahu berunding, BERSATU dan PN akan bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya.