KUALA BERANG, 9 Okt — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan kit ujian kendiri COVID-19 mencukupi di pasaran untuk menampung permintaan yang meningkat susulan kebenaran rentas negeri yang bakal diumum dalam masa terdekat.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata ketika ini terdapat enam juta kit ujian kendiri COVID-19 dalam pasaran dengan 28 syarikat yang diberikan lesen oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai pembekal dan pengedar.

“Memang kita jangka permintaan bagi kit ujian ini akan terus meningkat selaras saranan kerajaan agar rakyat melakukan ujian kendiri COVID-19 sebelum merentas negeri untuk mengawal penularannya.

“Jumlah pembekal juga dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa untuk memenuhi permintaan pasaran. Jadi orang ramai tidak perlu bimbang kerana kita percaya tidak timbul isu kekurangan bekalan kit ujian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah cabutan bertuah program kayuhan basikal, Fun Ride Parlimen Hulu Terengganu sempena Hari Sukan Negara 2021 di sini hari ini.

Program itu mendapat sambutan hangat apabila lebih 1,000 permohonan diterima, bagaimanapun hanya 250 peserta diterima penganjur mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara yang ditetapkan.

Ditanya mengenai cadangan beberapa pihak supaya kerajaan memberi subsidi pembelian kit ujian kendiri COVID-19, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata ia memerlukan kajian terperinci.

“Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil dan dalam fasa pemulihan, perkara itu perlu dikaji dengan lebih mendalam kerana kerajaan telah memberi terlalu banyak subsidi seperti minyak masak dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, Rosol berkata harga maksimum baharu kit ujian COVID-19 dijangka akan diumumkan Menteri KPDNHEP akhir November ini selepas perbincangan bersama pemain industri dan KKM dimuktamadkan.