AMPANG, 9 Okt — Mengenalpasti sektor pertumbuhan ekonomi baharu adalah di antara aspek yang diberikan perhatian kerajaan dalam merangka Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tumpuan terarah perkara itu adalah ‘strategi’ melonjak negara untuk terus maju.

Beliau berkata, antara ekonomi baharu yang dikenal pasti kerajaan merangkumi ekonomi digital, teknologi hijau, industri solar, kenderaan elektrik (EV) yang memenuhi portfolio Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Ini penting kepada Malaysia untuk terus maju ke hadapan kerana permintaan daripada pengguna di peringkat global. Mereka mahu dasar-dasar ekonomi yang akan dilaksanakan ini mestilah memenuhi ESG.

“Kalau kita dapat memberikan komitmen seperti yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)… dalam konteks seawal 2050 akan meletakkan Malaysia di kota dunia, di mana kita mahu berganjak dan maju ke hadapan dengan teknologi-teknologi baharu ini.

“Kita juga mahu pelaburan yang masuk adalah berteknologi dan berkualiti tinggi kerana tidak mahu terlalu bergantung kepada tenaga pekerja asing yang akan membebankan negara dalam konteks produktiviti,” katanya selepas merasmikan Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad Razali dan penyerahan bantuan kepada penduduk setempat di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, turut menyampaikan bantuan berupa komputer riba kepada lima pelajar yang berjaya menyambung pengajian ke universiti.

Berdasarkan apa dirancang kerajaan, Mohamed Azmin percaya, tenaga kerja tempatan mempunyai bakat dan kemahiran sekali gus dapat memenuhi keperluan yang dikehendaki syarikat multinasional (MNC).

Bukan itu sahaja, beliau berkata Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) turut sama akan menerima kesan limpah.

“Mereka memerlukan peluang seperti ini. Sebab itu bila syarikat MNC yang besar ini masuk ke dalam negara, sebenarnya ia membantu PKS dalam negara kita untuk memenuhi permintaan rantaian bekalan global.

“Jadi itu yang sedang kita lakukan dan terbukti pada tahun ini walaupun negara dilanda pandemik yang belum selesai tetapi pelabur asing masih yakin Malaysia merupakan hab destinasi pelaburan dan mencatatkan RM107.5 bilion dalam tempoh enam bulan pertama. Ia prestasi yang amat membanggakan,” katanya.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata, Kementerian Kewangan juga sedang meneliti permohonan daripada kementeriannya untuk memperkenalkan insentif-insentif baharu.

Jelasnya, kerajaan tidak lagi boleh berpegang kepada tawaran lama, sebaliknya perlu memperkenalkan tawaran nilai baharu seperti kemudahan menjalankan perniagaan.

“Mereka mahu melihat bagaimana institusi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan, negeri dan kementerian dapat memberikan kelulusan dengan segera dan tidak melengah-lengahkan. Jangan banyak sangat birokrasi. Ini semua sedang dilihat oleh pelabur-pelabur.

“Bukan saja soal insentif fiskal tetapi juga insentif dalam bentuk menyegerakan kelulusan dan Insya-Allah kita akan tumpu perkara ini dalam Belanjawan 2022,” katanya.