KOTA KINABALU, 10 Okt — Kerajaan negeri akan mengumumkan pendirian tentang kebenaran rentas negeri di Sabah selepas mesyuarat Kabinet negeri pada Rabu ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 Negeri Sabah akan mempertimbangkan keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan rentas negeri di seluruh negara bermula esok.

“Jawatankuasa ini akan mengemukakan cadangan dan perakuan kepada Jemaah Menteri yang bersidang pada Rabu ini untuk dipertimbangkan.

“Kita mengambil kira peratusan penduduk dewasa di Sabah yang lengkap divaksin belum mencapai kadar 90 peratus. Itu adalah prasyarat ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membolehkan rentas negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masidi berkata, pada masa ini kadar vaksinasi penduduk dewasa yang lengkap divaskin kira-kira 65 peratus.

Jelas beliau, Sabah masih melaksanakan kawalan pergerakan perjalanan mengikut sistem zon dan kawalan rentas daerah di luar kawasan zon masih berkuat kuasa.

Berdasarkan laporan harian Covid-19 semalam, penduduk dewasa Sabah yang sudah menerima vaksin adalah seramai 2.07 juta orang atau 75.1 peratus manakala, penduduk dewasa yang lengkap divaksin seramai 1.89 juta orang atau 68.7 peratus.

Sementara itu, seramai 292,001 orang atau 68.5 peratus penduduk remaja telah menerima satu dos vaksin dan 38,009 orang atau sembilan peratus menerima vaksin lengkap.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob hari ini mengumumkan pergerakan rentas negeri dibenarkan di seluruh negara bermula esok.

Kebenaran itu diberikan kepada rakyat Malaysia yang telah lengkap divaksin

Ismail Sabri berkata, dengan keputusan itu, rakyat Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah mahupun melancong.