KUALA LUMPUR, 12 Okt — Kementerian Kesihatan (KKM) tidak terlibat dengan penetapan caj dan kos perkhidmatan pengurusan jenazah pesakit COVID-19, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam sesi soal jawab berkata caj dan kos perkhidmatan pengurusan jenazah pesakit COVID-19 ditentukan pengurus jenazah Islam dan bukan Islam.

Katanya kos tanah perkuburan tertakluk pada persetujuan antara pihak waris dan pihak yang mengurus tanah perkuburan.

“Bagi pengurusan jenazah berisiko COVID-19 orang Islam, urusan di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri dan caj dikenakan adalah berbeza bagi setiap negeri.

“Peranan pihak pengurusan hospital KKM adalah sebagai fasilitator kepada waris dalam pengurusan jenazah COVID-19, pihak pengurusan hospital membantu dalam memberi cadangan senarai pengurus jenazah terlatih bagi sesuatu kawasan dengan pihak waris, dan keputusan akhir tertakluk kepada waris untuk memilih pengurus jenazah terlatih bersesuaian dengan kehendak mereka,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Zaiedi Suhaili yang ingin tahu mengenai caj dan kos perkhidmatan pengurusan jenazah pesakit COVID-19 dan sejauh mana kerajaan memastikan aktiviti pengurusan jenazah itu tidak dieksploitasi oleh pihak-pihak berkepentingan yang memberi implikasi besar kepada kerajaan.

Beliau berkata KKM telah mengeluarkan garis panduan pengurusan kematian disyaki COVID-19 di luar hospital semasa pandemik dan garis panduan pengurusan membawa mayat disahkan COVID-19 merentas negeri di Malaysia sebagai dokumen rujukan serta panduan dalam mengendalikan pengurusan mayat semasa pandemik.

“Garis panduan ini diguna pakai semua pihak meliputi KKM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam, Jabatan Agama Islam Negeri dan daerah serta Angkatan Pertahanan Awam,” katanya.

Mengenai eksploitasi pengurusan jenazah, beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi yang berkaitan, bagaimanapun beliau mengakui terdapat rungutan berhubung perkara itu di laman sosial.