KOTA KINABALU, 13 Okt — Industri pelancongan Sabah dijangka terus berkembang dengan pembangunan sebuah lagi resort mewah bertaraf lima bintang dengan nilai pelaburan mencecah RM1 bilion di Pulau Mengalum.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelaburan itu dijangka dibawa masuk oleh sebuah syarikat hartanah terbesar Taiwan.

Beliau berkata, apabila pembangunan itu direalisasikan, ia mampu menyediakan kira-kira 2,400 peluang pekerjaan untuk anak tempatan dan dijangka dapat menarik 97,000 pelancong ke Sabah setiap tahun.

“Sektor pelancongan sangat penting bagi Sabah dan ia merupakan salah satu daripada tiga teras utama dalam pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji berkata, dalam kunjungan hormat Kumpulan Sinyi Realty semalam, kerajaan negeri turut memberi jaminan untuk memberi bantuan yang diperlukan bagi memudahkan pelaburan syarikat itu di Sabah sejajar dengan hala tuju SMJ.

Pada 2019, syarikat hartanah itu memperoleh separuh daripada Pulau Mengalum dengan harga RM266 juta dan merancang untuk memulihkan sebahagian pulau yang tandus itu dengan perhutanan semula serta memulihkan terumbu karang di sekitarnya yang rosak akibat pengeboman ikan.

Pulau Mengalum yang terletak kira-kira sejam perjalanan menaiki bot dari pusat bandar raya ini pernah menjadi pusat kuarantin ternakan sehingga tahun 1997.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Pengerusi Kumpulan Sinyi Realty, Chou Chun Chi; Naib Pengerusi, Chou Wang Mei Wen dan Pengurus Besar, Chow Kok Yein.