KUALA LUMPUR, 14 Okt — Malaysia mempunyai peluang untuk melakukan lebih banyak lagi bagi mencapai pertumbuhan mampan dalam agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) memandangkan banyak syarikat yang telah melaksanakannya dan ia juga telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keperluan untuk menangani beberapa isu yang telahpun wujud sejak 10-15 tahun lepas termasuk kemiskinan dan merapatkan jurang kawasan bandar dan luar bandar kini menjadi lebih mendesak berbanding sebelum ini untuk negara meneruskan agenda ESG.

“Jika kita tidak mendukung ESG, kita akan ketinggalan untuk menjadi sebahagian daripada ekonomi dunia,” katanya pada acara Invest Malaysia 2021 semasa sesi “Fireside Chat: 12MP – Opportunities and Challenges” yang diperantarakan oleh Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Mengenai sasaran pertumbuhan ekonomi antara 4.5 dan 5.5 peratus setahun bagi tempoh 2021-2025, Mustapa berkata ia adalah realistik berdasarkan kepada jangkaan prestasi bagi tahun ini dan tahun depan, ditambah dengan dasar yang dilaksanakan termasuk pembaharuan.

Beliau berkata peningkaan produktiviti yang menyokong lagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dan perbelanjaan tinggi kerajaan akan mendorong pertumbuhan ekonomi, serta aliran masuk dana, pendigitalan dan pemulihan eksport.

Mengenai cadangan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan dan memperkenalkan cukai baharu, beliau berkata ia sedang diteliti, kerana sekarang bukan masa yang sesuai untuk memperkenalkan cukai tinggi di tengah-tengah fasa pemulihan ekonomi semasa.

Berkaitan model Perkongsian Swasta Awam 3.0 untuk membiayai projek prasarana, Mustapa berkata kerajaan sedang mempertimbangkan model paling mampan kerana ia diperlukan untuk mengurangkan beban kewangannnya memandangkan situasi sukar ketika ini.

Kertas konsep bagi model tersebut, katanya, telah disiapkan dan akan diusulkan kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

Menurutnya, kerajaan juga sedang mencari alternatif dan cadangan untuk menggantikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur (KL)-Singapura dengan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) domestik antara KL dan Iskandar Puteri, dan KL ke wilayah utara negara dan Bangkok, Thailand.

Mengenai Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) 3, beliau berkata terdapat juga beberapa cadangan agar projek itu dijalankan mengikut asas modular sederhana berikutan kedudukan kewangan semasa kerajaan.

“Bagi dua projek ini, ada keperluan; kerana kita memerlukannya untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam yang kini pada 20 peratus kepada sekurang-kurangnya 40-50 peratus dan lebih lagi.

“Aspirasi ini penting dalam konteks pembangunan mampan dan agenda hijau dan mengurangkan pelepasan gas daripada kenderaan. Oleh itu, kerajaan perlu meneliti dengan berhati-hati akan implikasi kewangannya, tetapi apabila situasi ekonomi bertambah baik kelak, kita akan menimbang semula projek ini sekali lagi,” katanya.