KUALA LUMPUR, 15 Okt — Tindakan kerajaan menaikkan cukai rokok dalam pembentangan Belanjawan 2022 akan datang akan merangsang kembali aktiviti penyeludupan rokok haram di Malaysia.

Ahli BERSATU Senator Muhammad Zahid Md Arip berkata setiap kali berlakunya kenaikan cukai, lambakan rokok seludup memenuhi pasaran tempatan menyebabkan perokok memilih rokok seludup kerana harganya lebih murah.

Muhammad Zahid turut mencadangkan agar langkah menaikkan cukai rokok perlu ditangguhkan terlebih dahulu walaupun memahami kerajaan memerlukan dana tambahan untuk menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Saya katakan begini bukan bermaksud saya berpihak kepada syarikat rokok, tidak. Saya tegaskan di sini kerana sering berlaku salah tanggapan di atas kertas kita menyatakan dengan menaikkan cukai rokok, ia akan mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat. Sebenarnya, tidak.

“Jika rokok yang sah ketika ini harga minimum adalah RM12 sekotak manakala maksimum harga adalah RM17.40 sekotak, dengan kerajaan menetapkan RM9 adalah cukai. Rokok haram pula dijual di bawah harga RM9, di bawah harga cukai iaitu rata-ratanya adalah antara RM3 hingga RM6 sekotak.

“Tentu sekali jika rokok sah melambung harganya, sindiket penyeludupan akan melihat “ini peluang baik dia boleh cari makan” sebab ia menyebabkan banyak ketirisan berlaku serta tergugat integriti dalam kalangan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara pada Khamis.

Pada 7 September tahun lalu, Muhammad Zahid telah membangkitkan kegusarannya terhadap aktiviti penyeludupan rokok haram yang menyaksikan Malaysia muncul sebagai destinasi rokok seludup nombor satu di dunia mengatasi Brazil dalam sesi perbahasan di Dewan Negara.

Ketika itu, beliau menggesa kepada kerajaan agar memperkasakan agensi pengutip cukai dengan menubuhkan pasukan petugas pelbagai agensi kerana aktiviti penyeludupan tersebut telah menyebabkan Malaysia kehilangan cukai sebanyak RM5 bilion setahun selain mencadangkan pembekuan transhipment rokok dan arak serta mewujudkan pintu masuk tunggal udara dan laut.

Malah, beliau turut menggesa agar kerajaan menguatkuasakan cukai ke atas vape kerana menerusinya Malaysia mampu meraih pendapatan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun.

“Alhamdulillah, saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Menteri Kewangan yang telah mengumumkan pelaksanaan sebahagian besar cadangan-cadangan saya dalam pembentangan Bajet pada tahun lalu.

“Langkah-langkah tersebut sudah mula membuahkan hasil dengan meningkatnya hasil kutipan cukai rokok manakala aktiviti-aktiviti penyeludupan rokok juga sudah menurun dari 64 peratus kepada 58 peratus pada suku kedua tahun ini.

Bagaimanapun, jika senario menaikkan cukai rokok kembali dilaksanakan, katanya usaha kerajaan untuk memperkasakan kutipan cukai rokok akan terjejas.

“Sudah tentu perokok sendiri akan memilih rokok yang lebih murah harganya iaitu rokok seludup.

“Jika senario ini kembali, usaha kita untuk memperkasakan kutipan cukai rokok akan terjejas melainkan kerajaan benar-benar memberikan jaminan kepada rakyat bahawa tidak akan berlaku sebarang penyeludupan dan ketirisan yang berlaku dalam negara, pada saya ianya mustahil ibarat kita mengharapkan ayam jantan bertelur kerana realitinya berlambak rokok, berlambak kedai rokok yang menjual rokok seludup dan ia boleh dibeli dengan begitu mudah.

“Dalam hal ini saya mempersoalkan di mana penguatkuasaan kita, di mana Jabatan Kastam, di mana PDRM, dan di mana KPDNHEP. Kenapa tidak dijalankan operasi besar-besaran secara berterusan bagi memerangi sindiket ini. Kenapa hangat-hangat tahi ayam?

“Justeru, kembali kepada soal cukai tadi, sebagai alternatifnya kerajaan boleh mengenakan cukai yang lebih mesra kepada pembentangan Bajet akan datang apabila persekitaran perniagaan kita mulai stabil,” katanya.