SHAH ALAM, 16 Okt — Seramai 40 peserta dipilih mengikuti Kursus Pengucapan Awam selama dua hari anjuran Penerangan BERSATU Malaysia dan Biro Latihan BERSATU Malaysia di sebuah hotel di sini hari ini.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata objektif kursus ini adalah untuk melahirkan penceramah-penceramah untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat dan jentera-jentera parti di seluruh negara.

“Kita bagi penumpuan kepada jentera dari Melaka, dan separuh lagi kita buka di negeri lain di seluruh Malaysia.

“Harapan saya kita bentuk pasukan penceramah ini, kita boleh hidupkan lagi usaha penerangan kepada masyarakat yang lebih meluas dan efektif,” katanya selepas merasmikan program Kursus Pengucapan Awam anjuran Penerangan BERSATU hari ini.

Turut hadir Pengarah Program Muhammad Affendi; Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Selangor Datuk Abdul Rashid Asari; Ketua Penerangan Srikandi Mastura Mohamad Darby dan Setiausaha Biro Latihan dan Pekaderan Muhammad Afiq Asyraf Mohd Nardin.

Sementara itu, Muhammad Affendi berkata peserta-peserta yang terpilih akan terlibat dalam program yang dianjurkan selepas ini.

“Mereka yang terpilih akan terlibat dalam program yang kita anjurkan selepas ini untuk mereka menyampaikan segala maklumat yang kita berikan untuk disampaikan kepada masyarakat,” katanya.