KUALA TERENGGANU, 16 Okt — Perikatan Nasional (PN) negeri bersedia menggerakkan jentera parti itu bagi membantu calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Penerangannya, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tindakan itu akan diambil selepas mendapat arahan daripada kepemimpinan Pusat.

“Bagaimanapun, arahan berkenaan bergantung kepada perkembangan politik semasa,” katanya memetik Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu, Wan Sukairi berkata, PN negeri selesai mengadakan mesyuarat kali kedua yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam.

Katanya, mesyuarat itu antara lain menyentuh soal perkembangan politik Pusat dan negeri di samping bagi mengemas kini struktur organisasi PN di semua peringkat.