KUALA BERANG, 17 Ogos — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengalakkan penjualan kit ujian kendiri COVID-19 di kedai runcit, pasar raya dan kedai serbaneka.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata jika penjualan itu diperluaskan, harga kit ujian kendiri COVID-19 akan lebih rendah, berbanding harga borong dan runcit ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, KPDNHEP akan menetapkan syarat penjualan untuk memastikan kit ujian kendiri COVID-19 mampu dibeli dan digunakan semua golongan.

“Kita akan jadikan kit ujian kendiri COVID-19 bukan barangan eksklusif pihak tertentu, sebaliknya boleh diperoleh semua golongan.

“KPDNHEP akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan semua pengedar bahan itu Isnin ini,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Ajil, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2, Suhaimi Samat.

Terdahulu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu melakukan tinjauan gerai minuman dan makanan di R&R Ajil.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, kit ujian kendiri COVID-19 mungkin dijual pada harga bawah RM10, berbanding sekarang, RM19.90.

“Kita dimaklumkan terdapat 35 pembekal dan pengimport kit ujian kendiri COVID-19, di seluruh negara dan sesi libat urus bagi menentukan harga baharu akan diadakan Isnin ini,” katanya.