DUNGUN, 17 Okt — Muzium Bukit Besi yang memaparkan sejarah perlombongan bijih besi terbesar di Asia Tenggara mula dibuka untuk awam.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, muzium terbabit menghimpunkan koleksi khazanah dan maklumat lengkap perlombongan bijih besi di kawasan tersebut yang pernah beroperasi hampir 60 tahun bermula tahun 1916.

“Kemasukan ke muzium ini adalah percuma bagi tempoh dua bulan ini hingga akhir tahun.

“Ia dibuka dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang setiap hari kecuali Jumaat,” katanya pada pra perasmian Muzium Bukit Besi di sini hari ini.

Razali berkata, selain lawatan galeri, pakej pelancongan tersebut turut merangkumi lawatan ke monumen perlombongan bijih besi yang terpelihara di Bukit Besi termasuk stesen simpanan bahan letupan, simpanan bijih besi, peleburan bijih besi dan kolam renang.

Tambah beliau, pengunjung akan dibawa ke mengunjungi monumen terbabit dengan menaiki bas dan penerangan daripada pegawai muzium.

“Kita harap pembukaan Muzium Bukit Besi ini dapat menyokong pakej pelancongan Bukit Besi selain memberi faedah ekonomi dan sosial kepada masyarakat setempat,” katanya.

Sewaktu zaman kegemilangannya, Bukit Besi muncul antara bandar paling maju di Terengganu dengan lengkap infrastruktur sebelum operasi perlombongan bijih besi ditutup sepenuhnya pada tahun 1971.