KUALA LUMPUR, 18 Okt — Malaysia bersedia untuk terus mengukuhkan kerjasama lebih aktif dengan Indonesia dan negara-negara jiran serantau susulan penubuhan pakatan keselamatan strategik baharu melibatkan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang juga dikenali dengan singkatan AUKUS.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerjasama itu bagi mempromosi dan mempertahankan rantau ini sebagai rantau yang aman, stabil serta berkembang dan makmur, selaras dengan aspirasi Pandangan ASEAN tentang Indo-Pasifik (AOIP).

“Seperti Indonesia, Malaysia juga berasa bimbang dengan penubuhan AUKUS yang berpotensi menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai medan persengketaan dan perlumbaan senjata, terutamanya senjata nuklear,” katanya pada sidang media selepas pertemuan dua halanya dengan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi di Jakarta pada Isnin.

Saifuddin berada dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Jakarta bermula semalam, yang merupakan lawatan rasmi pertamanya sejak dilantik semula sebagai Menteri Luar pada 30 Ogos lepas.

Mengenai Myanmar, Saifuddin menyatakan sokongan penuh Malaysia ke atas Konsensus Lima Perkara yang dicapai dalam Mesyuarat Pemimpin ASEAN mengenai Myanmar dan menyeru pelaksanaannya dengan segera.

“Berkemungkinan ketidakstabilan Myanmar akan terus memberi impak negatif kepada negara lain dan berpotensi untuk menjejaskan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya.

Berhubung situasi di Laut China Selatan, Saifuddin berkata Malaysia berpandangan bahawa isu tuntutan maritim di perairan itu dan penyelesaiannya hendaklah dibuat secara aman berdasarkan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuklah UNCLOS 1982.

“Semua pihak perlu mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif serta juga mengelak tindakan ketenteraan,” katanya.

Mengenai pembatasan sempadan maritim dengan Indonesia, katanya, Malaysia terus komited dalam usaha mencapai persefahaman dan penyelesaian menang-menang terhadap isu itu, yang menurutnya perlu mengambil kira formula penyelesaian yang boleh diterima secara keseluruhan oleh kedua-dua belah pihak.

“Malaysia juga akan terus menghormati perjanjian sedia ada berhubung persempadan maritim antara kedua-dua negara supaya tidak wujud sebarang percanggahan kelak,” katanya.

Malaysia turut bersedia memuktamadkan segmen di Selat Melaka, selain berpandangan segmen di Laut Wilayah Sulawesi boleh dicapai sekiranya rundingan pembatasan sempadan maritim diteruskan.

“Dalam hal ini, Malaysia percaya kedua-dua negara boleh mencapai persefahaman untuk memuktamadkan kedua-dua segmen itu,” kata Saifuddin.